Hari ketiga
Dari ski resort, kami ke Summer Palaca. Kali ini kami masuk ikut pintu yang lain dari lawatan sebelum ini dan melawat ke sekitar taman di bahagian yang berbeza. Kemudian kami bergambar berlatar belakangkan stadium olimpik yang sedang dibina kerana Beijing akan menjadi tuan rumah sukan olimpik pada 08.08.2008. Stadium utamanya berbentuk seperti sarang burung. Memang agak unik.
Kemudian kami dibawa untuk makan tengah hari, tetapi sebelum itu kami dibawa ke kedai mutiara dan berlian yang terletak bersebelahan restoran, sedangkan janjinya dari Summer Palace, kami akan terus dibawa membeli-belah. Lama sungguh kami di sini hingga kami tercari-cari pemandu pelancong untuk bertanya tentang makan tengah hari. Sengaja dia membiarkan kami berlama-lama dengan harapan membeli dengan banyak, sekali gus banyaklah komisyennya. Bosan betul!
Lepas makan tengah hari dan solat, barulah kami dibawa ke bazaar. Percaya atau tidak, kami diberi masa hanya selama sejam setengah. Alasannya kami perlu ke restoran untuk makan malam dan perlu ke stesen kereta api lebih awal, sedangkan di sinilah ada pakaian, cadar, sarung kusyen, beg, alatan elektronik dan segala macam benda yang murah harganya.Kalut betul dan capai aje mana yang sempat.
Selepas makan malam, kami ke stesen kereta api. Walaupun perjalanannya mengambil masa selama selama 12 jam, tetapi menaiki kereta api ekspres kelas 1 dari Beijing ke Shanghai memang selesa. Kami berkongsi satu kabin empat orang. Kabin ini memuatkan katil dua tingkat dan nampak sempit, tetapi masih ada ruang penyimpanan yang mencukupi untuk meletakkan beg-beg pakaian dan cukup selesa. Mula-mula memang riuh dan kami asyik berjalan dari satu kabin ke kabin yang lain kerana masing-masing tak pernah naik kereta api yang ada kabin begini. Jadi macam pelik dan sangat teruja. Tetapi lama-kelamaan semuanya tidur lena kerana kepenatan.
Program tiga hari dua malam di Shanghai lebih relaks. Walaupun kami masih dibawa ke tempat demonstrasi air teh dan jade, tetapi sekejap sahaja. Seterusnya ke tepi sungai dan menyaksikan pembangunan bandar Pudong, Shanghai. Malam kami pergi river cruise. Pemandangannya memang sangat cantik. Kami juga dibawa membeli-belah di bazaar yang memang merupakan pusat jualan beg tangan, pakaian dan pelbagai lagi.
Keseluruhannya, percutian ini memang sangat menyeronokkan kerana kawan-kawan yang pergi bersama-sama semuanya sekepala.
Hingga jumpa lagi.
Salam sayang daripada Kak Anis
No comments:
Post a Comment