Thursday, February 18, 2010

Cuti CNY

Malam Isnin, kak anis terima panggilan telefon drp Teh yang mengatakan emak sesak nafas. Mereka sedang menunggu ambulans untuk membawa emak ke hospital, walaupun emak yang ketika itu dalam keadaan mencungap mencari udara untuk bernafas memberitahu yang dia hendak mati di rumah. Teh bertambah sebak apabila emak menyuruhnya memanggil adik-beradik yang lain. Kecoh juga Teh dibuatnya kerana tiga orang bercuti di utara, seorang di pulau (heheh ... Kak Meen di Pulau Tioman rasa macam nak berenang balik), kak anis dan abang yang sulung di KL.

Sebenarnya kak anis sudah merancang hendak ke Kuantan pada hari Rabu. Sebelum itu biar adik yang bongsu menjenguk emak. Kemudian cuti sempena Maulidur Rasul, yang lain pula menjenguk emak. Diatur begini supaya sepanjang cuti sentiasa ada anak dan cucu-cucu dengan emak.

Adik sampai di Kuantan pada pukul 1 pagi, tetapi tidak dibenarkan melawat emak. Awal pagi Isnin, Kak anis bertolak dari KL. Ijoi hantar kak anis ke Hospital Tengku Ampuan Afzan pukul 12.20 tengah hari. Tetapi rupa-rupanya pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, waktu melawat bermula pukul 1 tengah hari. Guard yg jaga pintu tak bagi masuk. Kena tunggu pukul satu jugak!

Alhamdulillah emak dah beransur segar. Tetapi kesian tengok kesan-kesan lebam bekas suntikan. Katanya doktor susah nak cari urat untuk ambil darah, jadi terpaksa cuba berkali-kali.

Satu perkara yang menyedihkan, emak duduk di wad kelas 3. Bising dan sempit kerana di ruang yang kecil itu ditempatkan 6 buah katil. Kak anis bawa GL dengan harapan emak dipindahkan ke wad kelas 1, tapi kata doktor di wad kelas 1 jarang ada doktor. Hanya nurse sahaja yang menjaga, sedangkan di wad kelas 3 doktor sentiasa ada kerana bilangan pesakitnya ramai. Memandangkan emak mungkin menghadapi serangan jantung lagi, jadi doktor nasihatkan agar emak duduk sahaja di wad itu.

Hari Rabu emak sudah dibenarkan keluar. Lega kerana tidaklah setiap pagi kena suntik untuk ambil darah.